Nov 14, 2022 - FASGergasi Merah Mara Ke Separuh Akhir
Selangor FC menempah tiket ke pusingan Separuh Akhir TM Piala Malaysia 2022 selepas menundukkan Negeri Sembilan FC dengan keputusan 4-2 secara agregat pada perlawanan kedua Suku Akhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam Sabtu lalu.
Berbekalkan kelebihan dua gol dan bertandang ke tempat lawan, Gergasi Merah bermula garang dengan memberikan tekanan awal kepada pasukan tuan rumah dan usaha itu membuahkan hasil apabila larian pantas Sharul Nazeem berjaya membelah pertahan pihak lawan sebelum Herlison Caion melepaskan rembatan yang memperdayakan penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi untuk meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-10.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad Hobin Jang Hobin kembali mengasak kubu pertahan Gergasi Merah dan mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas Quentin Cheng didapati mengasari pemain lawan pada minit ke-24. Pemain import, Matheus Alves tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk mengikat kedudukan semasa 1-1.
Selangor sekali lagi dihadapan pada penghujung babak pertama apabila percubaan dari luar kotak penalti pemain kelahiran Jordan, Yazan Al Arab gagal diselamatkan oleh Syihan membolehkan Selangor kembali mendahului saingan pada minit ke-45.
Dua minit berselang, pasukan tuan rumah kembali menyamakan kedudukan menerusi ketua pasukan, Zaquan Adha selepas berlaku kucar-kacir dalam kotak penalti Selangor menjadikan kedudukan 2-2 untuk separuh masa pertama.
Kedua-dua pasukan terus mengasak kubu pertahan lawan masing-masing namun tiada tambahan jaringan terhasil untuk babak kedua sekaligus menjadikan keputusan penuh 2-2 dan Gergasi Merah mara ke Separuh Akhir secara agregat 4-2.
Berikut adalah beberapa fakta menarik yang dapat dicatatkan dari perlawanan malam tadi:
Penampilan ke-50 buat Aliff Haiqal Lau
Pemain tengah, Aliff Haiqal telah membuat 50 penampilan bersama Gergasi Merah sejak 2020
Rekod tanpa kalah Tan Cheng Hoe diteruskan selepas tujuh perlawanan
Keputusan seri 2-2 Sabtu lalu menyaksikan rekod cemerlang Tan Cheng Hoe diteruskan selepas tujuh perlawanan dengan mengutip lima kemenangan dan dua keputusan seri sebelum ini.
Penampilan ke-35 Gergasi Merah di Separuh Akhir Piala Malaysia
2022 merupakan penampilan Selangor kali ke 35 di separuh akhir dari 96 edisi Piala Malaysia setakat ini (tidak semua edisi Piala Malaysia mempunyai peringkat separuh akhir)
Menanti di Separuh Akhir adalah Terengganu FC yang berjaya menewaskan juara bertahan, KL City FC 4-1. Satu lagi perlawanan Separuh Akhir bakal melibatkan pertembungan diantara Johor Darul Ta’zim dan Sabah FC.
Perlawanan Separuh Akhir pertama bakal berlangsung pada 16 November 2022 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dan perlawanan Separuh Akhir kedua bakal berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 21 November ini.
Demi Kebanggaan!